Nama mas cotek adalah merupakan nama tempatan yang popular di bahagian Timur Semenanjung Malaysia. Di negeri Sabah dan Serawak, juga Kepulauan Kalimantan, tumbuhan ini dikenali dengan nama ‘sempit-sempit'. Terdapat juga suku kaum di Sabah yang menggelarnya sebagai ‘agoluran'. Di Indonesia, tumbuhan ini dipanggil ‘tabat barito' dan beberapa nama di daerah lain seperti ara jelatih, ara tunggal, api-api telinga gajah dan api-api telinga kera. Di Afrika pula, ianya dikenali sebagai ‘Kangkalibang'. Walaupun sedemikian, nama mas cotek adalah merupakan nama yang paling popular dan dikenali jika dibandingkan dengan nama-nama tempatan yang lain.
Nama mas cotek diberi disebabkan oleh bintik-bintik halus berwarna emas yang terdapat pada permukaan atas setiap helaian daun tumbuhan ini. Di Malaysia, para saintis telah mengenalpasti bahawa terdapat lebih daripada 80 spesis tumbuhan tergolong di dalam keluarga Ficus deltoidea . Tumbuhan yang dikenali sebagai ara juga merupakan salah satu spesis keluarga Ficus deltoidea. Ficus deltoidea Jack atau Mistleteo fig adalah diantara spesis yang diklasifikasikan secara saintifik dan ianya tergolong dalam keluarga Moraceae.

Bintik-bintik halus berwarna kuning pada daun mas cotek
Secara tradisi, nama tempatan serta pengkelasan jenis mas cotek dilakukan mengikut spesis seperti delima sudip, serapat angin, telinga gajah, telinga kera, telinga beruk dan sebagainya. Di Malaysia, spesis serapat angin banyak terdapat di bahagian Pantai Timur Semenanjung terutamanya di Negeri Terengganu. Spesis telinga beruk dan telinga gajah pula, banyak terdapat di Negeri Kelantan. Delima sudip boleh diperolehi di kawasan Tengah dan Selatan Semenanjung, manakala telinga kera banyak terdapat di bahagian Utara Semenanjung.
Menurut pengamal perubatan tradisional, mas cotek boleh diklasifikasikan kepada dua kategori utama iaitu:
a) Mas cotek jantan
b) Mas cotek betina
Perbezaan paling ketara yang dapat dilihat diantara spesis mas cotek jantan dan spesis mas cotek betina adalah dari segi rupa bentuk daunnya. Jenis yang berdaun kecil, tirus, nipis dan ringan lebih dikenali sebagai pokok mas cotek jantan. Bahagian belakang daun mas cotek jantan juga terdapat bintik berwarna merah. Pada kebiasaannya, daun-daun ini mempunyai satu bintik merah, tetapi terdapat juga daun yang mempunyai dua dan tiga bintik merah.

Bintik merah pada bahagian belakang daun mas cotek jantan
Bagi mas cotek jenis betina pula, rupa bentuk daunnya adalah lebih besar dan kebanyakan daunnya berbentuk bujur dan bulat serta lebih tebal jika dibandingkan dengan spesis jantan. Sama seperti daun jantan, daun betina juga mempunyai bintik pada bahagian belakang daunnya. Warna bintik pada daun betina bukannya berwarna merah, akan tetapi ianya berwarna hitam. Selain itu, urat daun betina kelihatan lebih jelas di bahagian permukaan atas daun jika dibandingkan dengan daun jantan.

Bintik hitam pada bahagian belakang daun mas cotek betina
No comments:
Post a Comment